S K Kg Melayu Niyor, 17 April - Alhamdulillah, Kejohanan Balapan dan Padang pada tahun ini telah diadakan dengan jayanya. Kerjasama yang...
SK Kg Melayu Niyor, 17 April - Alhamdulillah, Kejohanan Balapan dan Padang pada tahun ini telah diadakan dengan jayanya. Kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam membantu menjayakan Kejohanan Balapan dan Padang kali ke-27 pada tahun ini wajar diberi pujian. Guru dan ibu bapa bersama-sama menggembleng tenaga apabila seawal jam 6.30 pagi lagi, mereka telah mula melakukan persiapan sebelum kejohanan bermula.
Fenomena 'El-Nino' yang sedang melanda negara sejak akhir-akhir ini telah dipandang serius oleh pihak sekolah dan bersetuju untuk membatalkan beberapa aturcara kebiasaan kejohanan seperti pembarisan bagi mempercepatkan perjalanan kejohanan berprestij ini. Kejohanan dimulakan dengan bacaan doa yang diketuai oleh Ustaz Mohd Hasyrie Rusydi bin Kamaruzaman dan bacaan ikrar kejohanan oleh adik Muhammad Hasif bin Hamrizal.
Acara yang menjadi tumpuan adalah acara 100m LA Akhir dengan masing-masing peserta memberi saingan yang sengit sebelum menamatkan larian masing-masing dan turut mencuri tumpuan adalah acara PIBG iaitu acara 2 x 100m. Peserta acara PIBG yang disertai oleh ibu bapa, bekas pelajar dan staf SK Kg Melayu Niyor diberi sorakan yang gemuruh diatas semangat kesukanan yang telah ditunjukkan oleh semua peserta.
Pada tahun ini, Rumah Tun Abdul Razak (Merah) sekali lagi dinobatkan selaku juara keseluruhan kali ketiga berturut-turut dan mendapat piala pusingan. Adik Nur Nabil Najmie bin Anuar (Rumah Tunku Abdul Rahman-Biru) dan Nur'Atikah binti Mohd Noor (Rumah Tun Hussein Onn-Kuning) pula dianugerahkan olahragawan olahragawati sekolah.
Dalam ucapan guru besar, Nor Zaidi bin Jamiluddin,
Saya berharap kejohanan ini dapat memberi motivasi kepada murid-murid dan setiap kejayaan adalah bermula dengan usaha. Usahalah membantu diri sendiri untuk berjaya. Tanpa usaha, semuanya hanya sia-sia.YDP PIBG, En.Sapari bin Abdul Manan selaku perasmi turut menyampaikan pesanan penting kepada semua murid seterusnya merasmikan majlis penutupan Kejohanan Balapan dan Padang Kali ke-27 tahun 2016.
Sebenarnya setiap murid mempunyai potensi untuk berjaya. Allah SWT telah memberi kelebihan kepada semua umat manusia, yang penting bagaimana kita menggunakan kelebihan kita dengan sebaiknya untuk berjaya.Beliau turut mengambil kesempatan ini dengan menyampaikan sumbangan ikhlas pembinaan surau sekolah kepada guru besar. Beliau mewakili sumbangan dari Alumni SK Kg Melayu Niyor tahun 1975. Semoga Allah SWT membalas jasa baik semua pihak yang telah membuat sumbangan ikhlas ini.
Pihak sekolah juga mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat terutamanya ibu bapa, komuniti, dan badan swasta diatas kerjasama yang telah diberikan kepada pihak sekolah. Antara yang terlibat adalah :
- Pengurusan Ladang CEP Niyor (SIME DARBY)
- UMNO Cawangan Kg. Melayu Niyor
- Belia Murni Kg. Melayu Niyor
- Saidina Food Industries
- Raja - Zurich Agent
- Semua yang terlibat
Tahniah dan syabas kepada semua yang berjaya dan kepada yang belum bernasib baik mengapai pingat, usaha lagi pada kejohanan di tahun hadapan. InsyaAllah.